Bercuti di Tabin Wildlife Reserve

Tabin Wildlife terletak di Lahad Datu Sabah. Sekian lama menyimpan angan-angan untuk menjejakkan kaki ke sana, alhamdulillah akhirnya berjaya juga sampai. Menikmati kehidupan alam semula jadi di Sabah sangat mengujakan.Keluasan hutan simpannya sangat luas kira-kira 300,000 ekar. Hutan simpan Tabin ini menyimpan 3 jenis spesis haiwan mamalia yang paling besar di Sabah iaitu Borneo Pygmy Elephant, Sumatran Rhinoceros dan Tembadau. Selain itu hampir 300 spesis burung dan haiwan-haiwan lain mendiami hutan simpan ini. 

 
Percutian di sini sangat menyeronokan bagi pencinta alam semula jadi. Anda boleh melihat kepelbagaian habitat haiwan dan kehidupan haiwan-haiwan secara semula jadi. Jauh bezanya jika dibandingkan dengan haiwan yang berada di zoo. Melihat haiwan menjalani kehidupan secara 'wildlife' menunjukkan kepada kita bahawa tidak semua haiwan-haiwan yang terdapat di dalam hutan ini kita dapat melihatnya apabila pergi ke sana. Kehidupan haiwan-haiwan ini bebas dalam hutan seluas hampir 300,000 ekar. Oleh kerana itu, bergantung kepada nasib dan rezeki kita haiwan apa yang dapat kita temukan di sana. Seperti gajah Borneo, ia akan membuat trip pusing seluruh hutan simpan dan kawasan sekitarnya. Selalunya gajah ini akan tiba di Tabin anggaran dalam bulan Mei, Jun atau Julai. Selain itu, musim buah juga memainkan peranan yang besar. Jika anda pergi bukan musim buah, mungkin haiwan yang bakal anda lihat adalah tidak banyak berbanding pada musim buah. Nasihat saya, adalah lebih baik sebelum anda pergi ke Tabin Wildlife Reserve perlulah membuat perancangan yang rapi dari segi masa. Hubungi pihak Tabin dan bertanya dahulu agar anda dapat menikmati percutian yang berbaloi dan memuaskan.


Di hutan simpan Tabin, terdapat badak sumbu Sumatra yang dipelihara oleh Jabatan Hidupan Liar.  Untuk pengetahuan anda, budak sumbu Sumatra ini jumlahnya di Sabah hanya ada 3 sahaja dan ketiga-tiganya adalah jantan. Manakala di Kalimantan Indonesia cuma ada seekor sahaja. Jelas menunjukkan bahawa haiwan ini sedang menghadapi kepupusan spesis. Setiap pengunjung yang datang ke sini, dilarang sama sekali untuk membuat lawatan ke tempat memeliharaan badak sumbu Sumatra ini melainkan anda mendapat surat kebenaran dari Jabatan Hidupan Liar. Jika anda berhajat melihat haiwan yang terancam kepupusan ini di Tabin, sebelum anda datang ke sini mohonlah kebenaran dari Jabatan Hidupan Liar untuk membuat lawan kecil ke sini. In sha Allah dengan ada nya kebenaran dari Jabatan Hidupan Liar pihak Tabin tiada masalah untuk membawa anda datang melawat haiwan istimewa ini.


Bila anda mencari sesuatu semula jadi, harga untuk anda mendapat kenikmatan ini bukanlah murah. Apa yang boleh saya katakan harganya sangat berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan. Untuk lawatan singkat anda boleh mengambil pakej 2 hari 1 malam yang berharga RM550 bagi penduduk semenanjung Malaysia manakala RM500 untuk penduduk Sabah. Terdapat juga potongan jika anda bekerja di Lahad Datu dengan syarat anda perlu mengemukakan bukti ada bekerja di sini. Harga tersebut merangkumi semua dari segi makan minum, penginapan, transportation dari airport ke Tabin yang mengambil masa sejam setengah.

Apabila anda sampai ke Tabin, anda akan melihat ramai dari pengunjungnya adalah foreigner. Sudah tentulah perkhidmatan yang akan anda dapat tidak akan mengecewakan. Seperti saya, saya menginap di cottage yang sangat comel dan cantik. Di belakang cottage tersebut mengalirnya air sungai dari Lipad Waterfall. Anda boleh pergi berenang atau bermain air di sana bila ada waktu senggang. Malah sudah tentu anda akan dibawa melawat dan bermain air di Lipad waterfall yang sebenar. Menikmati air terjun tanpa sebarang pencemaran dan betul-betul merasai keindahan semula jadi. Seolah-oleh anda berada di kolam mandi sendiri tanpa ada sebarang gangguan dari pengunjung lain kerana ianya bukan tempat reakrasi terbuka.



Perkara istimewa di Tabin juga adalah terdapatnya lumpur volcano yang masih aktif walaupun telah berlalu ratusan tahun. Seperti diketahui umum, lumpur volcano baik dalam merawat penyakit kulit dan menyihatkan kulit. Di sini, anda berpeluang menikmati sendiri kepuasan melumur badan dengan lumpur volcano. Di sabah khususnya, terdapat 3 tempat sahaja yang mempunyai lumpur volcano dan di Tabin adalah yang terbesar. Jika anda datang ke sini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati sendiri kebaikan lumpur volcano.


Antara aktivitinya yang paling menarik minat saya adalah night safari. Melihat haiwan tidur di malam hari sesuatu yang menyeronokkan. Mungkin sebelum ini kita hanya kenal haiwan dari segi kelincahannya bergayut dipokok, mencari makanan atau menyerang musuhnya. Tetapi berbeza sekali apabila melihat haiwan-haiwan ini tidur. Bagi saya ia merupakan suatu ilmu baru dalam mengenali lebih dekat ciptaan Allah yang banyak mengandungi misteri dan menjadikan kita lebih yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa. Apabila berjalan di malam hari, sudah tentu kita akan ditemani bintang-bintang yang bersinar dan bergemelapan. Ambil peluang anda sebanyak-banyaknya untuk memerhati langit yang penuh dengan cahaya nion-nion semula jadi. Jika anda bernasib baik anda akan melihat tahi bintang. Sungguh indah dan mempersonakan permandangan di malam hari.

Jika anda merancang untuk ke Tabin Wildlife untuk bercuti , in sha Allah alam semula jadi tidak pernah menghampakan anda. Rancanglah masa dan perjalanan sebaiknya agar anda dapat menikmati percutian dengan gembira dan menyeronokkan. Buatlah tempahan awal supaya anda tidak kecewa. Selain itu, banyakan berdoa sebelum datang agar anda dapat melihat haiwan-haiwan yang anda hajati kerana "wildlife" tidak menjanjikan anda apa-apa tetapi Allah menjanjikan anda sesuatu. Semoga selamat perjalanan dan pulang dengan memori indah. 

Comments